Tuesday 13 December 2011

Malaysia, Namamu kian tercalar

Mula bibit-bibit keruntuhan moral ahli politik Malaysia. Amanah yang diberikan untuk mengurus lembu dijadikan bahan modal untuk membeli apartment Rm10 juta. Kita mulai sedar akan kepincangan yang dihadapi Malaysia bila Rm250 juta diberikan kepada orang yang tidak ada pengalaman langsung dalam pengurusan penternakan sedangkan pengusaha-pengusaha ladang kecilan yang mengimpikan bantuan kewangan dilambatkan kelulusan dengan syarat permohonan yang ketat. Sungguh Malaysia, namamu kian tercalar.

Sungguh namamu kian busuk, bila 'abang-abang' mempertahankan 'adik-adik' mereka dari terus melakukan penyelewengan. Dikatanya, membeli apartment adalah satu tindakan pelaburan yang bijak sedangkan pada masa yang sama matlamat asal pembiakan penternakan hanya mampu mencecah 41.1% dari target keseluruhan sepertimana yang disebutkan oleh Ketua Audit Negara. Apa kalian bilang kalian pengurus hartanah?, sungguh hanya yang tuli akan tetap membiarkan mereka memperbodohkan kita. Ada pula 'abang' menyebut "yang terlibat hanya 'jantannya' dan bukan empunya badan". Oh lupa pula 'abang' yang ini memang kuat tidur di mesyuarat, barangkali terlena dan tidak sedar akan realiti semasa.

Bila dipertikai, mulalah lenting tak bertempat. Disingsingnya lengan dikhalayak ramai, rambut tersembul keluar, belum sampai tahap angkat kain katanya, sedangkan mulut petah mahu mempertahankan agama. Daku senyum tak terkata melihat gelagat Si 'ibu tua', sedang hati sedih melihat islam dipersenda. Malaysia namamu kian tercalar....